Tuesday, 15 November 2011

                 Perbezaan antara lelaki dan perempuan yang dapat dilihat dalam perspektif agama



  • Lelaki
Lelaki bujang menanggung dosanya sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditangguh oleh bapanya. Lelaki berkahwin pula menanggung dosa diri sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh.
      
        Perbezaan ini jelas menunjukkan tanggungjawab lelaki sebagai khalifah di muka bumi bukan sesuatu yang mudah.
      
         Hukum menjelaskan anak lelaki perlu bertanggungjawab ke atas ibunya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggungjawab, maka dia berdosa terutama anak lelaki yang paling tua, manakala perempuan tidak. Perempuan hanya perlu taat kepada suami. Apabila isteri berbuat baik, dia dapat pahala, tetapi apabila dia berbuat tidak elok, dosanya ditanggung oleh suaminya. Berat bukan?
      
        Suami wajib memberikan nafkah kepada isteri tetapi isteri tidak. Banyak lagi tangungjawab lelaki, lebih-lebih lagi yang bergelar suami. Apabila mahu dibayangkan beratnya dosa-dosa yang ditanggung, seperti gunung dengan semut. Itu sebabnya mengikut kajian usia wanita lebih panjang daripada lelaki. Lelaki lebih pendek usianya kerana tidak tertanggung berat dosanya.

        Namun lelaki ada keistimewaan yang dianugerahkan oleh Tuhan. Sekiranya tidak tahu, jadi perempuan sahaja.


  • Wanita
Aurat lebih susah dijaga berbanding lelaki. Perlu meminta izin daripada suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya. Saksinya kurang berbanding lelaki. Menerima pusaka kurang daripada lelaki. Perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak. Wajib taat kepada suami.
    
        Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri. Wanita kurang dalam beribadat kerana masalah haid dan nifas yang tidak ada pada lelaki.


  • Pernahkah kita lihat sebaliknya?
Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang tersorok dan selamat. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiarkan bersepah-sepah bukan? Itulah perbandingan dengan wanita.

        Wanita perlu taat kepada suami sahaja tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya tiga kali lebih utama daripada bapanya. Bukankah ibu adalah wanita?
         Wanita menerima pusaka kurang daripada lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya, manakala lelaki yang menerima pusaka perlu menggunakan hartanya itu untuk menyara isteri dan anak-anak.
         Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh semua haiwan, malaikat dan seluruh makhluk Tuhan di atas muka bumi ini. Manakala dosa-dosa kecilnya diampunkan oleh Tuhan.
  
         Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan kepada empat wanita iaitu isteri, ibu, anak perempuan dan saudara perempuan. Manakala wanita pula, tanggungjawab kepadanya ditanggung oleh empat orang lelaki iaitu suami, ayah, anak dan saudara lelakinya.

         Wanita boleh memasuki pintu syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya cukup dengan empat syarat sahaja iaitu sembahyang lima waktu, puasa dibulan ramadhan, taat kepada suami dan menjaga kehormatannya.

        Lelaki perlu berjihad fisabilillah tetapi wanita taat kepada suami serta menunaikan tanggungjawab kepada Tuhan akan turut menerima pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

       Masya-Allah, sayangnya Tuhan kepada wanita. Wanita adalah pelengkap dan sememangnya istimewa di sisi lelaki. Lelaki juga istimewa kerana diangkat sebagai pemimpin oleh Tuhan.

      Jadi hargailah wanita sebaik-baiknya supaya nanti lelaki dan perempuan kembali kepada Tuhan di akhirat dalam keadaan yang bererti dan diterima. Seperti dalam Surah Ali Imran, ayat 103 yang membawa maksud, "Berpeganglah kamu sekalian dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu, ketika kamu bermusuh-musuhan sudah dipersatukanNya hati kamu semua, sehingga dengan segera kamu menjadi bersaudara dengan sebab nikmatNya." Pada hari kiamat, manusia diberitahu akan segala yang sudah dikerjakannya dan yang sudah ditinggalkannya. Bahkan anggota badan akan menjadi saksi kepada perlakuan diri kerana mulut sudah tidak dapat berkata-kata pada waktu itu.