Kesengsaraan hidup kami bermula apabila ayah meninggalkan ibu kerana ingin bernikah lagi. Tanpa angin, tanpa ribut, tiba-tiba sahaja ayah menyatakan hasratnya untuk menceraikan ibu kerana ingin bernikah dengan seorang gadis sebayaku.
Permintaan mendadak membuatkan ibu terkejut bukan kepalang. Dia tidak dapat menerima hakikat bahawa ayah tegar meninggalkan dirinya hanya kerana seorang gadis muda sehingga sanggup melupakan segala pengorbanannya selama ini.
Ibu hampir hilang akal mendengar permintaan ayah. Dia merayu agar ayah tidak meninggalkan kami sekeluarga. Katanya, dia rela bermadu asalkan dirinya tidak diceraikan demi anak-anak yang masih belum mampu hidup berdikari kecuali diriku yang baru selesai menamatkan pengajian, keempat-empat adikku masih belajar dan memerlukan biaya pendidikan yang agak besar.
Kedudukannya sebagai seorang suri rumah sepenuh masa membuatkan ibu tambah risau. Dia bimbang sekiranya ayahtidak lagi menunaikan tanggungjawab dan memberi nafkah kepada anak-anak apabila berkahwin baru. Lebih dari itu, ibu bimbang adik bongsuku yang baru memasuki alam persekolahan akan ketandusan kasih sayang seoragn bapa.
Namun, sayangnya segala rayuan ibu tidak ayah pedulikan. Tiada apa lagi yang mampu ibu lakukan untuk memujuk ayah. Keputusan lelaki berusia hampir setengah abad itu telah tetap. Apapun pujukan kami, segala-galanya tidak berbekas dihati ayah kerana keinginannya untuk bernikah lagi terlalu kuat.
Hidup Susah
Akhirnya, ayah selamat bernikah dengan gadis pujaannya. Seperti sangkaan ibu, ayah langsung memutuskan hubungannya dengan kami setelah berkahwin lain. Jangankan ingin menghulurkan wang untuk keperluan kami, khabar beritanya juga langsung tidak kami terima.
Sebagai anak sulung, aku berusaha untuk menjejak ayah. Seburuk mana sekalipun kami pada pandangan matanya, dia perlu menjaga kebajikan diri kami, anak-anaknya. Dia wajib melunaskan tanggungjawabnya sebagai bapa dengan memberikan nafkah buat diriku dan adik-adikku yang masih bersekolah. Tapi aku gagal untuk menjejaki ayah. Aku menanggung segala-galanya sendirian. Adik-adikku tidak tahu bahawa ayah telah benar-benar membuang kami. Sangka mereka meskipun tidak datang menziarahi, ayah masih membayar nafkah hidup kami.
Ibu yang tidak bekerja, tidak mampu mebiayai kehidupan kami sekeluarga. Dengan keadaan dirinya yang cukup terpukul dengan ketidak setiaan ayah, ibu seolah-olah berputus asa untuk terus menjalani kehidupan. Tiada lagi, sinar ceria diwajah lembutnya. Tiada lagi, sentuhan kasih sayang dan kata-kata nasihat yang sering terlontar daripada bibirnya buat kami anak-anaknya.
Pikul Tanggungjawab
Selaku anak sulung, aku bertanggungjawab untuk mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga. Berbekalkan ijazah yang baru ku peroleh, aku berusaha untuk mencari pekerjaan agar mampu menampung kehidupan kami sekeluarga.
Malangnya, rezeki bagaikan tertutup buat diriku. Sudah puas aku berusaha namun segala-galanya hanya sia-sia. Aku gagal mendapat sebarang pekerjaan yang boleh menampung perbelanjaan kehidupan kami sekeluarga.
Aku benar-benar hampa mengapa Tuhan memberikan ujian begitu hebat kepada kami? Mengapa ayah tegar menzalimi anak-anaknya yang suatu ketika dulu cukup disayanginya? Semua persoalan ini benar-benar membuatku buntu.
Suatu hari, aku bertemu dengan Sheena, rakan lamaku ketika di bangku persekolahan. Aku menceritakan tentang kesusahan hidup yang ku alami kepadanya. Aku juga meminta bantuan daripadanya untuk mecarikan pekerjaan buat diriku agar aku boleh memperoleh wang untuk membiayai kelangsungan pendidikan adik-adikku.
Sheena segera menawarkan aku pekerjaan yang mudah untuk mendapatkan wang. "Kau cantik, jual saja diri kau. Aku pasti kau akan mendapat banya wang," kata Sheena. Tersentak aku mendengar cadangan Sheena, lantas meninggalkan dirinya dengan segera.
Namun setibanya dirumah, cadangan gila Sheena berlegar-legar difikiranku. Walau tidak rela, aku fikir aku terpaksa melakukan sesuatu demi ibu dan adik-adikku. Aku perlu bekorban untuk mereka walau terpaksa menggadaikan maruah dan harga diriku sekalipun. Tambahan pula, sesi persekolahan dan pengajian akan bermula tidak lama lagi dan aku sebagai saudara tertua perlu melaksanakan tanggungjawab terhadap adik-adikku.
Lantas aku nekad untuk mengikut saranan Sheena. Aku menghubunginya dan meminta bantuan daripadanya kerana aku tahu sebagai seorang GRO, Sheena membayar diriku dengan harga lumayan. Seperti yang kuharap Sheena sanggup menolongku. Dia berjanji akan mencari lelaki kaya yang sanggup membayar lumayan untuk meniduriku.
3 hari lepas itu, Sheena menghubungi dan menyatakan bahawa dia sudah berjumpa dengan lelaki yang sudi membayar nilai kegadisanku dengan harga tinggi, menjangkau ratusan ribu. Mendengar tawaran tersebut, aku lantas bersetuju.
Biarpun sesekali akal warasku memujuk agar aku membatalkan hasrat gilaku itu, kuteruskan jua keputusan itu. Apatah lagi, apabila aku mengingati keadaan ibu yang cukup terluka dan sengsara dengan perbuatan ayah serta kesengsaraan yang bakal ditempuhi oleh adik-adikku dan betapa hidup mereka akan memberantakan kerana ketiadaan ilmu sebagai bekalan masa depan.
Aku tahu diriku kini tak ubah seperti seorang pelacur yang sanggup menjual diri kerana wang. Tapi biarlah aku bekorban, asalkan keluargaku hidup bahagia dan sempurna. Biarlah aku derita, asalkan keluargaku tidak melarat kesusahan. Yang pasti mereka tidak perlu tahu akan perbuatanku kerana inilah pengorbanan yang kupilih untuk membahagiakan insan-insan tersayang didalam hidupku.
No comments:
Post a Comment